photo lamanutama_zps42d97f2a.jpg  photo ORGANISASI_zpsa868b266.jpg  photo HUBUNGIKAMI_zpsd43bda8f.jpg  photo AKTIVITI_zps0d100c36.jpg  photo GALERI_zps03a7497e.jpg

Thursday, April 9, 2015

Saya Nak Berubah Jadi Baik, Macam Mana?

Saya yakin dengan sepenuh-penuh yakin, sesiapa yang terdetik untuk baca artikel ini, dia pasti ada niat nak berubah jadi baik, yang baik nak menjadi lebih baik, dan yang dah terbaik ingin terus kekalkan kebaikan dan menyebarkan kebaikan sehingga semua rasa kebaikan dan akhirnya kebaikan itu…. Argh. Apa punya pusing-pusing ni.

Senang cerita, siapa yang terlintas nak baca artikel ni, mesti nak jadi baikkan? Kalau tak, takkanlah nak baca kan?

Tahniah! Sila tepuk guna 3 jari untuk diri korang sendiri.

Moga niat kita untuk berubah pun Allah akan balas dengan pahala yang melimpah ruah hingga ke ladang gandum lalu jadilah… Argh, sekali lagi aku mengarut.

Fitrah manusia, ramai yang ingin berubah menjadi baik, tetapi ramai yang tidak tahu dan tidak jumpa cara untuk kembali ke pangkal jalan.

Belajar dari kesilapan

Ada seorang murobbi saya memberitahu,

“Kalau kita tidak mahu tersadung kaki, bukan jawapannya “jangan berjalan”. Kalau kita tidak mahu bercerai, bukan jawapannya  “jangan berkahwin”. Kalau tidak mahu tergigit lidah, bukan jawapannya “jangan mengunyah”.

Belajar daripada kesilapan hari ini, agar mampu berjaya di masa depan. Itu pendekatan yang kurang tepat. Yang tepat ialah belajar daripada kesilapan orang terdahulu, agar kita mampu melangkah lebih jauh daripada mereka. Itulah keseronokan yang beronok-ronok bila belajar berterusan.

Ya, belajar daripada kesilapan orang terdahulu. Siapa orang terdahulu?

Antara orang terdahulu ialah golongan-golongan yang telah diceritakan oleh Allah di dalam Al Quran yang agung dan hadis-hadis yang sahih. Juga kisah-kisah Salaf As Soleh. Dan yang paling terdekat, kisah ibu bapa atau keluarga hatta kawan-kawan kita sendiri. Kita mesti akan melakukan kesilapan, maka daripada kesilapan itu kita belajar bagaimana untuk berubah. Bahkan yang lebih baik, kita belajar daripada kesilapan generasi sebelum kita.

Tips untuk berubah

Korang ketahuilah, saya hanya mampu berikan tips dan cara, dan ianya berdasarkan pengalaman dan pembacaan saya sendiri. Semua ini hanya menjadi teori semata-mata selagi mana korang tidak diamalkan. Ia akan sia-sia dan buat habis peluh saya je menaip (kesat peluh dalam bilik aircond). Dan saya yakin, tidak semua orang mampu melakukan, tetapi paling cap ayam sekalipun lakukan apa yang mampu supaya kita tidak frust tergolek di akhirat nanti.

1.  Walau apa pun jua perkara, niat itu penting. Kerana ia permulaan sesuatu amal. Ibarat kunci kepada sesuatu kenderaan. Jadi pasang niat kerana Allah semata-mata. Bukan sebab nak usha awek blok lain, atau nak usha classmate korang.

2. Niat saja tidak cukup, tetapi pasang matlamat atau target yang membakar tetapi munasabah. Jangan pasang target merepek contohnya nak jadi maksum. Apa ke gerun la.

Sebagai contoh, dari yang tak tutup aurat kepada menutup aurat dengan sempurna. Pasang matlamat, mulai esok akan tutup aurat sampai bila-bila. Tidak mahu “on-off” je kejanya. Tetapi “one-off” terus.

3. Buang mindset atau perasaan negatif terhadap diri. Contohnya, buang perasaan “aku tak mampu”, “aku tak layak”, “aku tak kuat”, dan sebagainya.

Rasulullah pernah sebut dalam satu hadis Qudsi, yang mana Allah bagitahu,

“Aku adalah apa yang hamba-Ku sangkakan.” (Hadis riwayat Tirmidzi).

Ketahuilah, kalau dari awal mindset kita dah kata “tak mampu”, SELAMANYA korang takkan mampu untuk berubah. Sebab mindset dah salah. Tukar mindset tu!

4. Korang jangan peduli perasaan negatif terhadap semua perkara di sekeliling. Contohnya,

“kalau aku berubah, mesti ramai bahan aku”,
“kalau aku berubah, nanti takde siapa nak teman aku pergi toilet malam-malam”,
“kalau aku berubah, nanti ramai unfriend facebook aku secara berjemaah,”

dan sebagainya. Apa ke gerun la korang fikir. Orang yang ikhlas berubah, dia takkan fikir apa orang sekeliling dia cakap. Kalau korang berubah kerana manusia, korang pasti akan cepat down!

5. Awal-awal lagi, persiapkan diri dengan perisai “kalis maki”, “kalis caci” dan “kalis dibenci”. Sebab apa? Sebab kemungkinan besar semua ini akan berlaku selepas kita berubah menjadi baik. Maka, kena kuatkan kesabaran untuk bersabar.

6. Ini yang penting, lakukan langkah demi langkah, jangan tergopoh gapah! Contohnya, kalau sebelum ini tak pernah solat, mulakan solat bersendirian di bilik 5 waktu. Tetapi kalau mampu, solatlah berjemaah di surau atau masjid.

7. Tekad! Jangan tangguh-tangguh lagi dengan alasan,

“belum sampai seru dari Tuhan (rasa nak lempang je)”, 
“aku belum bersedia lagi”,

dan sebagainya. Kematian tak menunggu kita, kita tak mampu mengubahnya. Tetapi kita mampu mengubah diri kita. Siapa boleh jamin yang korang boleh habis baca artikel ni dalam keadaan korang masih  hidup?

Pergh, terasa macam baca death note pula.

8. Buat sesuatu perubahan itu istiqomah dalam tempoh masa kurang lebih 40 hari. InsyaAllah, biasanya sesuatu tabiat baru dapat dibentuk dalam jangka masa tersebut. Tempoh tu hanyalah anggaran je, boleh jadi 10 saat pun dah boleh istiqamah. Peh.

9. Setiap kali selepas solat, dan setiap kali selepas solat fardhu, banyaklah istighfar dan berdoa sungguh-sungguh pada Allah agar tetapkan hati kita untuk kekal sampai jadi mayat. Doa sampai menangis-nangis. Bukan doa 5 saat je.

“Wahai Tuhan pemilik hati-hati manusia, janganlah Kau memperbolak balikkan hati-hati kami setelah Kau memberi hidayah kepada kami..”

Penambah Perisa (Yang ni wajib baca. Jangan tekan button X lagi)

Setiap manusia perlukan sokongan, terutama sekali ketika kita berseorangan. Sedangkan Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam perlukan teman dan sahabat-sahabat baginda, inikan kita insan biasa yang hina dina dan penuh dosa bapak gila banyak. Jadi, ada beberapa perkara yang perlu korang ambil perhatian antaranya;

1.  Korang tinggalkan dosa SEPENUHNYA!

Dosa dan maksiat ni jangan tinggal separuh-separuh, nanti korang akan buat balik. Contoh kalau nak tinggalkan couple sebelum nikah yang haram tu, kena clash terus. Jangan tangguh. Atau nak tinggalkan hiburan yang haram, kena delete semua tu. Kalau nak jaga ikhtilat, kena jaga sungguh-sungguh.

Jangan tinggal sekerat-sekerat je.

2. Tinggalkan kawan-kawan yang jahat, cari kawan yang baik.

Orang yang nak berubah dan bertaubat, dia kena jauhkan diri dari kawan-kawan yang jahat, yang boleh menggoda/mengajaknya untuk melakukan maksiat, serta menarik kakinya ke arah maksiat sehingga dia terjatuh dan terjerumus ke dalam lembah dosa dan maksiat.

Benda ni bukan benda main-main. Benda ni benda serius!

Kita kena ganti dan tukar kawan yang jahat dengan kawan yang baik. Kita kena berkawan, bergaul dan rapat dengan orang yang baik-baik! Kita tengok muka kawan kita, kita teringat Allah. Kata-kata mereka sentiasa memandu kita ke arah kebaikan.

Kata seorang penyair:

“Elakkan dari bersahabatkan si hina. Kelak, ia pasti berjangkit umpama kudis yang menjangkiti orang sihat..”

Sahabat ni terbahagi kepada dua.

a) Ada yang mengheret kita ke syurga.
b) Ada juga yang mengheret kita ke neraka!

Allah sendiri dah bagi amaran supaya jangan kawan dengan orang-orang yang jahat! Kadang-kadang kita sendiri tak sedar yang kita ni MANGSA, dan kat akhirat baru kita sedar. Allah berfirman:

“Dan ingatlah, hari di mana orang zalim menggigit kedua tangannya seraya berkata; “ Alangkah baiknta sekiranya duu aku mengambil jalan bersama-sama rasul. Kecelakaan yang besarlah ke atasku, sekiranya aku dahulu TIDAK MENJADIKAN si fulan itu sebagai TEMAN AKRABKU. Sesungguhnya, dia telah menyesatkanku dari Alquran!!”

(Al Furqan ayat 27-29)

Sebab tulah, ulama’-ulama’ amat menekankan kita untuk TUKAR KAWAN. Mereka berkata:

“Taubat itu adalah penyesalan. Penyesalan itu ialah penyesalan dengan hati, keazaman untuk meninggalkan perkara maksiat, beristighfar dengan lidah, meninggalkan dengan jasad dan MENJAUHKAN DIRI dari TEMAN YANG JAHAT…”

Inilah FORMULA untuk nak jadi baik. Bak kata Imam Alqushairi:

“Orang yang mahu bertaubat, mesti MULAKAN dengan menjauhkan diri dari kawan-kawan yang jahat, kerana merekalah yang akan mendorong kita agar membatalkan niar dan keinginan untuk bertaubat, serta meragu-ragukan kita tentang azam kita untuk berubah…”

Jadi saya saran, ikutlah USRAH. Di sekolah, universiti, kolej dan lain-lain. Nak ikut ISMA ke, PEMBINA ke, IKRAM ke, HALUAN ke, TABLIGH ke, atau apa-apalah NGO/JEMAAH dakwah dan tarbiah. Baru kita akan jadi kuat!

Bila kita nak jadi baik, kita kena duduk bersama-sama orang yang sama-sama dengan kita nak jadi baik.

“Tapi ustaz.. Macam mana dengan kawan saya yang jahat tu?”

Haa, baca dan pegang elok-elok.

“Orang yang baik untuk kita SAHABAT, orang yang jahat untuk kita DAKWAH. Kalau kita bersahabat, kita akan TERPENGARUH. Kalau kita berdakwah, kita akan MEMPENGARUH.”

So korang kena dakwah kepada orang yang nakal dan jahat la.

3.  Jangan duduk seorang diri!

Bahaya bro. Banyakkan bersama orang, pergi tolong mak ayah ke, duduk dengan adik beradik ke, atau pergi program tarbiah ke, duduk surau ke, riadhah ke. Jangan duduk sorang-sorang. Perangkap syaitonirrojim tuu.

4. Yang ini penting, kena LAZIMI taubat. Bukan hanya taubat saja.

Bila nak berubah, kita kena lah mengaku salah, mintak maaf dengan kesalahan, dan USAHA untuk tak buat lagi. Mana ada orang yang buat salah, dia nak dapat redha kepada orang yang dia buat salah tanpa mintak maaf.

Kita ni dah lama sangat dan banyak kali kurang-ajar dengan Allah, buat Allah marah, gunakan segala nikmat yang Allah bagi untuk maksiat.

Sebab tu kena TAUBAT!

Tapi, masalah yang biasa terjadi (juga terjadi berkali-kali pada diri saya), kita dah taubat, tapi sampai satu tempoh, kita ULANG balik dosa yang kita dah taubat. Jadi, nak buat macam mana? Sebab tu saya cakap, kita bukan sekadar kena taubat, tapi, MELAZIMI taubat.

Saya ulang:

“Kita bukan sekadar kena taubat, tapi, MELAZIMI taubat…”

Bila buat salah, taubat. Kalau kita buat salah balik, taubat balik. Kalau buat lagi salah, taubat lagi. Sampai bila? Sampai mati! Jangan tangguh taubat. Kalau boleh, bila buat salah, terus taubat, mintak ampun sungguh-sungguh kat Allah.

Kalau kuali yang kita guna untuk masak, awal-awal kita masak, akan ada hitam kat bawah kuali tu. Kalau kita terus basuh, insyallah hilang. Tapi, kalau kita lambat basuh, lama-lama, hitam tu akan MELEKAT kat kuali tu, dan sangat susah untuk hilangkan!

Sekarang ni, kita rasa SUSAH untuk berubah dan tinggalkan maksiat, adalah kerana kita tak MELAZIMI TAUBAT. Kita tak habis-habis tangguh taubat. Sampai maksiat tu MELEKAT, dan sangat susah nak hilang.

“Jika kamu bertaubat sehingga taubat itu gugur dan kamu kembali melakukan dosa, maka, bersegeralah bertaubat kembali! Katakanlah pada dirimu:”Moga-moga aku mati sebelum sempat mengulangi dosa kali ini….”

(Imam Ghazali)

”Orang yang terbaik ialah orang yang banyak di uji dengan dosa dan banyak bertaubat!”

(Ali b. Abi Talib)

“Kamu perlu bertaubat dari dua dosa. Satu, dosa kamu yang lalu. Kedua, kamu perlu taubat kerana kamu menangguhkan taubat kamu…”

(Ibn Qayyim)

Amacam? Bolehkan?

Perjalanan Yang Panjang Bermula Dengan Langkah Pertama

Hidup ini sekitar 50 hingga 60 tahun sahaja. Pendek je umur kita. Tak lama pun, walaupun ada yang hidup lebih lama dari itu, bahkan ada yang lebih pendek dari itu! Sekarang ini mungkin ada yang berusia belasan tahun, ada yang 20-an, bahkan ada yang mencecah 50 tahun. 

Kita tiada masa untuk berfoya-foya dan berjimba rimba bagai. Tambahan, kita pun tidak tahu bila kita akan mati.

Perubahan itu memerlukan masa, ia berperingkat. Tetapi walau banyak mana pun peringkatnya, ia pasti bermula dengan langkah pertama dan mesti berubah sepenuhnya. Dan langkah pertama itulah, yang perlu kita buat dengan tindakan, bukan sekadar sembang kencang!

Setakat sembang kencang, gajah pun boleh terbang.

“Sesungguhnya, Allah takkan UBAH sesuatu kaum, andai dia tak UBAH apa yang ada padi DIRI MEREKA sendiri!”

(Ar Ra’du ayat 13)


Dah jangan banyak soal, jom kita bertaubat dan berubah menjadi baik!


Moga Allah Redha

--

Ahmad Shukery Azizan  @ Shukery Azizan
013 – 7297785
Krew Tarbiah Sentap.

www.tarbiahsentap.com

No comments:

Post a Comment