photo lamanutama_zps42d97f2a.jpg  photo ORGANISASI_zpsa868b266.jpg  photo HUBUNGIKAMI_zpsd43bda8f.jpg  photo AKTIVITI_zps0d100c36.jpg  photo GALERI_zps03a7497e.jpg

Monday, March 16, 2015

Perkongsian Mantan MEP Keusahawanan

Oleh : Saudari Siti Khairunisa Bt Zainal
Mantan Eksekutif Keusahawanan MEP 2013/2014

Assalamualaikum w.b.t dan salam sejahtera.

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada barisan MEP 2014/2015 terutamanya saudari Iman Nadhirah kerana memberi peluang untuk saya berkongsi pengalaman di laman blog ini. Baiklah, saya mulakan penulisan saya dengan memperkenalkan diri saya. Nama diberi Siti Khairunisa bt Zainal, pelajar tahun 3 dalam bidang Kejuruteraan Awam dan Struktur. Saya merupakan mantan Eksekutif Keusahawanan, MEP KIZ 2013/2014.

Saya diminta untuk berkongsi pengalaman sebagai MEP Keusahawanan oleh saudari Iman. Sebenarnya saya sendiri tidak tahu bagaimana hendak berkongsi pengalaman ini tetapi saya akan cuba berkongsi serba sedikit pengalaman saya sebagai mantan MEP Keusahawanan.

Sebelum itu, saya ingin berkongsi sedikit penglibatan saya dalam bidang keusahawanan. Saya sebenarnya mula menjinak-jinakkan diri dalam bidang keusahawanan sejak kecil lagi. Saya mula menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan ketika di sekolah rendah, dan diteruskan di sekolah menengah dan Matrikulasi. Pada peringkat awal, saya berniaga hanyalah untuk mengumpul wang tambahan dan hanya sekadar ‘suka-suka’. Namun, semakin lama saya di dalam bidang ini, saya merasakan sesuatu kepuasan yang sukar digambar walaupun hakikat untuk melaksanakannya amatlah sukar dan perlu menghadapi pelbagai risiko termasuklah kerugian.

Ketika di UKM, saya lebih gemar melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti di kolej berbanding di fakulti. Kebanyakkan program-program yang saya sertai berunsurkan keusahawanan tanpa saya  sedari. Saya pada mulanya menjadi ahli dalam Kelab Siswaniaga yang di mana kami menjalankan perniagaan berkonsepkan warung yang dikenali sebagai “IZISH Corner”. Saya juga merupakan AJK Program Youth Business Challenge, Ketua Pengarah Karnival Mini Usahawan IZISH (KIZ) dan sebagainya. Selain aktiviti keusahawanan, saya juga melibatkan diri serba sedikit dalam bidang protokol.

Barisan AJK dan Peserta Program Youth Business Challenge 2012
Pengalaman sebagai MEP Keusahawanan adalah memori yang terindah bagi saya di mana melalui amanah ini, pelbagai perkara baru yang saya pelajari yang sememangnya sukar didapati di mana-mana. Ketika saya dan rakan-rakan seperjuangan menerima watikah sebagai Majlis Eksekutif Pelajar KIZ 2013/14, sungguh berat rasanya amanah dan kepercayaan yang perlu digalas. Namun, bagi melaksanakan amanah yang diberi, kami berusaha sebaik mungkin untuk tidak mengecewakan sesiapa.

Untuk mengalas tanggungjawab sebagai seorang pemimpin bukan sesuatu yang mudah. Bagi saya sendiri, sangat sukar untuk saya melaksanakan amanah ini. Sebelum ini, saya hanya menyertai program-program yang berbentuk keusahawanan, namun untuk merancang sebuah program keusahawanan sahaja memerlukan pemikiran yang sangat kritis.  

Sepanjang saya menjalankan amanah sebagai MEP Keusahawanan, tidaklah banyak program yang mampu saya laksanakan. Antara program keusahawanan yang dijalankan ialah Coffee and Cakes Corner, Business Mania (program HP/CITRA), dan lain-lain. Setiap program mempunyai kelebihan dan risiko-risiko yang perlu dihadapi. Namun, sebenarnya antara tujuan program-program keusahawanan ini diadakan adalah untuk menanam nilai keusahawanan dalam diri mahasiswa di samping meningkatkan tahap kenyakinan diri. Saya sendiri akuinya kerana sebelum ini saya amatlah pasif dalam beberapa perkara. Alhamdulillah, melalui program-program ini, saya dapat meningkatkan “self-confident” dan “communication skill” saya.

Program Coffee and Cakes memulakan operasi pada tahun 2013

Barisan AJK Program Business Mania

Melalui pengalaman saya, ada beberapa perkara yang setiap mahasiswa perlu mengubahnya. Sememangnya tidak dapat disangkal lagi yang aktiviti keusahawanan memerlukan pengorbanan yang terlalu besar. Kebanyakkan pelajar tidak mahu melibatkan diri dalam program-program ini atas alasan sibuk dengan pelajaran. Ya, memang benar pelajaran itu amat penting, tetapi kita perlu seimbangkannya dengan aktiviti lain. Inilah keistimewaan keusahawanan dimana pelajar yang menceburkan diri dalam bidang ini dapat melatih diri mengurus masa dengan baik, di samping dapat melatih diri untuk berfikir secara optimum apabila berlakunya sesuatu masalah. Namun, mereka tetap tidak mengabaikan pelajaran yang menjadi “priority” seorang mahasiswa.

Selain itu, pemikiran pelajar yang menganggap bidang keusahawanan hanyalah untuk pelajar ekonomi amatlah saya tidak setuju dimana setiap individu perlu diberi peluang untuk melibatkan diri dalam bidang ini. Di zaman pemodenan ini, isu pengangguran amatlah kritikal dan sebagai langkah persediaan, mahasiswa perlu menyiapkan diri dengan ilmu keusahawanan kerana ianya merupakan permulaan langkah kita untuk lebih maju ke hadapan berbanding orang lain.

Saya sendiri pernah beberapa kali ditegur oleh sesetengah individu yang mempertikaikan jawatan dan kemampuan saya sebagai MEP Keusahawanan hanya kerana saya merupakan pelajar fakulti Kejuruteraan. Saya mengambil kata-kata mereka sebagai pembakar semangat untuk saya meneruskan perjuangan ini dan saya ingin buktikan kepada mereka bahawa keusahawanan bukan tertumpu kepada pelajar ekonomi sahaja tetapi pelajar dalam bidang lain juga turut mampu lakukannya. Alhamdulillah, akhirnya saya dapat melaksanakan amanah ini walaupun ada banyak kelemahan saya di situ.

Akhirnya, saya mengucapkan selamat berjaya kepada setiap individu yang sudah menceburkan diri dalam bidang keusahawanan ini. Sesuatu perniagaan sememangnya sukar untuk mendapatkan keuntungan pada peringkat awal, namun jika anda berusaha secara berterusan, Insyaallah anda akan berjaya kelak. Mahasiswa yang lain juga hendaklah menghindarkan diri daripada pemikiran pasif tentang bidang keusahawanan ini dan berjinak-jinaklah untuk melibatkan diri dalam bidang ini.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada En Anuar, En Nik, barisan pentadbiran, barisan felo terutamanya kepada Abang Shaqiq (Felo Keusahawanan), barisan mantan MEP 2013/2014 dan rakan-rakan yang lain kerana telah banyak membantu saya dalam melaksanakan amanah sebagai MEP Keusahawanan. Jasa anda semua amat saya hargai. Kepada Saudari Iman Nadhirah dan barisan MEP 2014/2015, semoga berjaya dalam melaksanakan tugas anda semua. 

Barisan MEP 2013/2014 bersama En Anuar, En Nik dan barisan felo KIZ


No comments:

Post a Comment