photo lamanutama_zps42d97f2a.jpg  photo ORGANISASI_zpsa868b266.jpg  photo HUBUNGIKAMI_zpsd43bda8f.jpg  photo AKTIVITI_zps0d100c36.jpg  photo GALERI_zps03a7497e.jpg

Sunday, October 26, 2014

Pengalaman Sebuah Percintaan Bermakna

Nukilan : Noor Suzila Yatim, Ikon Teraju KIZ, Timbalan Ketua Eksekutif

Nama diberi  Noor Suzila Binti Yatim. Berasal dari Kampung Chinta Mata, daerah Tenom, negeri Sabah. Anak sulung antara 3 beradik, tetapi anak ketiga dalam 6 orang adik beradik sebab ayah kahwin dua, ibuku isteri kedua. Diriku tidaklah istimewa, hanyalah seorang anak gadis kampung lulusan STPM yang berjaya melanjutkan pelajaran dalam Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian Persuratan Melayu, di Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan, dan Kebudayaan Melayu, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia. Sesungguhnya aku amat bersyukur kerana impian dan hasrat tercapai apabila universiti yang diimpikan telah menerima diri ini.Aku mengucapkan syukur ke hadrat ilahi atas segala limpah dan kurniaNya kerana rezeki yang tidak ternilai harganya.Aku juga mengucapkan terima kasih kepada keluarga yang dari dulu sehingga sekarang tidak berhenti menyokong dan memberi dorongan dalam menjadi seorang yang berpendidikan dan insan yang berguna. Terima kasih kepada guru-guru yang mendidik saya tanpa jemu, dan rakan-rakan yang menjadi penguat tatkala diri ini sedang gundah dan gulana. Aku bersyukur dan terharu bila mengenangkan betapa perjuangan aku, yang ingin masuk ke universiti seperti mimpi semalam yang baru saja dibina. Terlalu banyak pengorbanan yang tidak mungkin saya mampu tafsirkan dengan kata-kata, hanya Allah SWT yang mengetahui segalanya.


Pertama kali datang ke UKM, aku berasa rendah diri. Aku gembira juga sebenarnya sebab seolah-olah macam bermimpi yang aku bergelar mahasiswi UKM, antara uniersiti yang terkenal di Malaysia. Aku tidak kenali siapa-siapa dan berharap aku akan ramai kawan yang sudi berkawan dengan aku yang baru pertama kali jejakkan kaki ke UKM. Alhamdulillah,sepanjang di UKM, aku mengalami pengalaman yang cukup bermakna, cukup manis, pahit, duka, lara, gembira dan sebagainya. Ia berjaya mendidik aku berdikari dalam menempuh alam kedewasaan yang matang. Semasa menjadi pelajar tahun 1 di UKM, memang amat mencabar. Dunia aku bukan lagi zaman sekolah, tapi alam kampus, yang menentukan sama ada masa depan aku gelap atau cerah.Aku amat suka dengan suasana di UKM, terutama di Kolej Ibu Zain.Suasana kolej yang mendekatkan lagi perasaan aku dengan kampung kelahiran.Tidak dilupakan juga  Memori Minggu Mesra Pelajar 2013 amat bermakna sekali,kerana bertuah berkenalan dengan rakan pelbagai negeri, bangsa, dan budaya. Aku pada mulanya sukar memahami Bahasa Melayu Semenanjung melainkan Bahasa melayu Sabah dan Sarawak.Alhamdulillah itu bukan penghalang, aku berjaya tempuhinya. Pengalaman bermakna buat pertama kali menjadi warga UKM, aku Berjaya ke peringkat akhir Pidato Piala Naib Canselor dan sekali gus mendapat tempat ketiga.Padahal,berentap dengan 12 peserta dari kolej lain sebelum layak ke final sungguh sengit ketika pusingan semi final itu.Sungguhpun aku ketika itu sedang sakit, demam dan batuk, para felo,barisan MEP 2013/2014 dan rakan-rakan tidak putus-putus memberikan sokongan dan berdoa demi kemenangan. Terima kasih semua, anda adalah kekuatan saya di sini. Hanya Allah SWT yang mampu membalasnya.  

Pengalaman bermakna dapat berpidato di DECTAR di hadapan semua warga UKM semasa Minggu Mesra Pelajar sesi 2013/2014.
Padahal ketika itu pening kepala,demam panas yang melanda, suara yang hampir hilang semua aku hapuskan dari otak aku. Aku mahu yang terbaik demi KIZ dan tidak mahu hampakan mereka yang berharap dengan diri ini yang menewaskan kolej-kolej lain. KIZ sebuah kolej yang sedikit jumlah pelajarnya. Sememangnya kami kumpulan ‘krik-krik’ tapi kami mampu buktikan bahawa KIZ juga boleh menjadi saingan kepada kolej-kolej lain yang jauh lebih besar jumlah pelajar.

Aku bangga mejadi warga KIZ dengan Pengetua kolej En.Anuar Ahmad yang tegas, berwibawa dan penyayang terhadap warga KIZ yang dianggap seperti anak-anaknya. Timbalan Pengetua KIZ En. Nik Noor Faizul Md Saad yang mesra, tegas dan tidak jemu memberi tunjuk ajar kepada kami semua. Barisan felo, Abang Ijan yang tidak lain tidak bukan adalah orang pertama yang rapat dengan diri ini. Segala perkongsian, air mata dan luahan aku kongsikan dengan felo yang berjiwa mesra pelajar ini. Orang pertama yang berkongsi air mata dengan aku yang ketika itu masih bertatih dan tidak tahu apa-apa. Abang Ijan seorang yang banyak memberi kekuatan dan motivasi untuk aku jadi lebih kuat. Dr.Elfith pula seorang felo yang sangat positif dan banyak memberi aku pendedahan besar terhadap banyak perkara, beliau seorang kakak yang baik dan selalu sahaja memberi nasihat dan bantuan setiap kali aku perlukan dia. Abang Acap, Abang Chang Ee, Abang Shaqiq dan kak Hana adalah felo yang selamba, menghiburkan hati dan selalu dekat dengan pelajar, mereka-mereka ini antara felo-felo yang selalu berkongsi dengan banyak perkara sehingga kita terasa senang dan terinspirasi dalam banyak perkara. Kak bie pula seorang felo yang tegas, serius dan sebenarnya peramah orangnya. Teringat pertama kali sertai pidato, beliau banyak membantu aku dalam pengucapan umum  sehinggakan aku sedar dia juga orang sabah (hahaha) orang bajau pula tu.Gembira juga sebenarnya. Untuk Abang Nik yang baru dilantik menjadi felo, aku tengok abang Nik seorang yang pemalu tetapi mesra orangnya. Suka tersenyum dan lagaknya menjadi idaman wanita (hehehe) dan siapa sangka, dia adalah ustaz (hahaha) memang felo-felo KIZ ni selalu sahaja mengejutkan orang. Namun, mereka semua sentiasa di hati menjadi yang tersayang dan inspirasi.

Gambar di atas merupakan gambar aku berjaya meraih tempat Ketiga selepas berentap dengan 6 orang peserta dari kolej lain. Bersyukur dengan kudrat dan usaha. 

Pengalaman berkawan juga merupakan kenangan terindah buat aku. Aku sebenarnya seorang insan yang bertuah dan sentiasa akan menikmati hubungan persahabatan kerana dianugerahi kawan-kawan yang selalu sahaja menjadi penghibur, penasihat, dan pembantu disaat diri ini suka, duka, dan banyak lagi. Mereka adalah insan-insan yang berjasa kerana banyak membantu aku mengecapi semua kejayaan ini. Mereka adalah adik beradik yang selalu sahaja dengan diri ini, Geng Lobi yang selalu aktif penglibatan dalam kolej, membuat riuh rendah, riang ria tawa, suka berdrama, suka beraktiviti dan banyak lagi (tak dapat nak cakap) siapa sangka kami ini berlainan negeri, bahasa, bangsa dan budaya boleh bersatu hati? Aku sayangkan mereka dan selamanya takkan berubah kasih sayang itu. Tidak dilupakan rakan-rakan kolej yang senantiasa memberi sokongan dan selalu sahaja membantu tatkala diri ini sedang runsing, mereka sentiasa menawarkan diri membantu dalam menyertai program dan aktiviti bahkan, menjadi penghibur, penasihat dan rujukan sekiranya ada sahaja hal yang menganggu hati ini.Seterusnya kepada rakan-rakan fakulti yang selalu memahami aku seorang yang aktif, mereka tidak selalu membebankan diri ini malah sebaliknya membantu aku dalam tugasan-tugasan kuliah dan memberi rujukan nota-nota untuk sama-sama cemerlang dalam pelajaran. Mereka Keluarga Dongdel yang selalu menghiburkan hati ini dan selalu mengambil berat tanpa jemu kerana risau aku akan ketinggalan. Terima kasih kepada kawan-kawan yang mengenali diri ini, anda adalah kekuatan saya dalam menempuh hidup ini. Teruskanlah bersama saya dan teruskanlah menegur saya demi kebaikan saya untuk membina keperibadian diri ini. Teruskanlah kejutkan saya dari lena tidak berpenghujung ini. Mari!!! Bangkitlah bersama diri ini!


Percayalah, di dunia ini kita bukan keseorangan.Kita punya keluarga, rakan-rakan dan banyak lagi yang sentiasa menyokong kita. Jangan dilupa kepada Allah SWT yang maha mengetahui segalanya, kepadaNya kita berdoa dan melaksanakan amanah sebagai hambanya. Sentiasalah ingat bahawa diri kita ini ada masa depan dalam mencipta sejarah tersendiri. Yakinlah! Bangkitlah! Jangan tidur lena dibantal yang empuk itu, kelak kau akan menyesal bahawa kau tertinggal saat-saat yang bermakna dalam menyedut pahit manis dalam menyelusuri ranjau kehidupan untuk menjadi insan yang berjaya, ingatlah ibu bapa kita dan mereka yang berkorban demi kita. Sesungguhnya semuanya dari diri kita sendiri. 

Di UKM ini mengajar aku banyak nilai yang aku sendiri juga sukar untuk mengerti, sehingga buat aku berfikir bahawa, aku sudah dewasa dan di depan aku banyak lagi cabaran-cabaran yang menanti. Mulai saat ini aku harus kuat dan bangunkan diri ini dalam menghadapi masa-masa yang bakal menjatuhkan aku itu. Tetapi bagaimana? Di sinilah jawapannya, aku harus kuat dalam pegangan agamaku, mantapkan ilmu aku, jaga perhubunganku dangan alam sekitarku dan penghuni di muka bumi ini sebaiknya dan sedia berubah dalam perbaiki kekurangan diri. Kerana apa? Aku ingin menjadi insan yang merubah nasib keluarga, bangsa dan agama. Aku tidak mahu hidup dibayangan orang lain dan ingin mengorak langkah dalam membantu diri ini dan mereka yang lain. Allahuakbar, besar sungguh tangungjawab ini. Adakah aku antara mereka yang terpilih? Allahualam. Semoga Allah permudahkan urusanku dalam sepanjang hidup ini Inshaa Allah. Amin.

Pengajianku di UKM berjalan dengan lancar dan kadangkala tersangkut kerana kesibukan, masalah-masalah lain seperti kesihatan dan perasaan malas yang tidak diundang. Aku akui bukan mudah dalam mendisiplinkan diri dengan masa, tapi mahu atau tidak kita kena juga berdisiplin dan berjuang dalam kecemerlangan diri kita. Namun,aku berbangga menjadi pelajar Persuratan Melayu kerana sejak sekolah menengah, STPM dan kini aku tidak pernah tinggalkan subjek kesukaan aku ini. Entah kenapa, meskipun ramai yang bersuara sumbang mengatakan jurusan ini tidak punya masa depan cerah,aku tidak peduli! Kerana bagi aku,biarlah aku belajar kerana minat, tentang kerja bukannya tidak penting, aku akui ia amat penting demi masa depan kita.Tapi sedarlah, kerja atau kerjaya itu rezeki daripada Allah SWT, berusahalah kejar minat anda dan asahlah bakat demi kebaikan dan ilmu yang membantu kita dikemudian hari.Usah berharap hari yang cerah, tetapi bersedialah menghadapi mendung yang mungkin hujan. Bersedialah untuk tidak bersedia!! Kerana hidup memang bukannya mudah seperti yang anda jangkakan.

Sepanjang setahun saya berada di UKM, adalah menjadi satu pengalaman yang banyak membantu saya membina karakter diri saya menjadi seorang insan yang ingin maju seperti mereka yang lain. Saya dedahkan diri saya terhadap banyak perkara sehingga jauh dari kepakaran saya. (terkejut juga tapi tiada yang mustahil). Saya berusaha menjadi yang terbaik semaksima yang mungkin. Saya cabar diri saya untuk menjadi contoh kepada yang lain. Kerana bagi saya tiada alasan melainkan alasan untuk menempah kegagalan sendiri. Cukuplah kita berusaha sebaik mungkin dan sekiranya nasib tidak menyebelahi kita itu adalah hikmah yang mempunyai nilai tersirat dalam mendidik kita supaya jangan cepat mengalah dan teruskan sehingga menang! Alhamdulillah, Allah SWT makbulkan impian saya dengan menganugerahkan saya pelbagai nikmat yang saya tidak jangka sepanjang setahun ini saya mampu menjulang semua itu. Berkat didikan para pensyarah yang selalu memberi tunjuk ajar, barisan felo yang selalu tidak lekang dengan nasihat dan rakan-rakan yang banyak memberi sokongan, saya berjaya hadapi semua itu. Namun, saya tidak akan berhenti dan akan terus mencipta sejarah hidup saya lagi untuk masa akan datang!!!



Alhamdulillah..itulah rakaman kenangan terindah buat aku yang setahun menetap di UKM. Banyak lagi sebenarnya, tetapi semua itu akan disematkan di dalam hati dan fikiran agar menjadi motivasi dalam menuju kejayaan. Sepanjang penglibatan inilah yang berjaya mendidik,melatih dan mencipta imej atau perwatakkan aku sekarang. Inilah aku, yang sentiasa dahagakan pembaharuan, yang sentiasa mengejar erti hidup dalam mengejar makna hidup sebagai seorang hamba Allah di muka bumi ini. Aku tidak mahu buang masa, aku ingin mengisi hidup ini dengan sesuatu yang bermakna agar, menjadi panduan generasiku suatu hari nanti.

Berkat doa keluarga, para pendidik dan rakan-rakan.Segala penat lelah sebagai pelajar dalam mengharungi pelbagai tangungjawab sekali gus banyak melatih kita sebenarnya. Aku banyak menerima rezeki yang selalu sahaja tidak putus-putus. Rezeki itu luas, bukan wang tetapi kepercayaan! Amanah! Dan sudah pasti tangungjawab terhadap diri ini. Zaman 2013, zaman 2014 bakal melabuhkan tirainya. Apa lagi harus ku kejar? Selain ketakwaan kepada Allah SWT, aku ingin mencabar diri ini mendapat sesuatu yang sukar didapati. Sudah tentu dalam pelajaran, membentuk akhlak yang baik dan banyak lagi. Namun, tiada yang senang, hanya cabaran yang menanti. Untuk kali ini aku menyandang jawatan sebagai Timbalan Ketua Eksekutif Kolej Ibu Zain dan memimpin rakan-rakan untuk memajukan diri menjadi Pendaulat Amanah Negara! Bukan mudah,tetapi aku percaya hasil doa,kerjasama dan usaha bersama pasti kita akan jadi lebih hebat.


Terima kasih kerana anda sudi membaca coretan perkongsian ini. Semoga apa yang saya kongsikan ini menjadi motivasi untuk kita semua dalam membina pembangunan diri.Maafkan saya kepada pihak yang tidak dinyatakan dalam ruangan ini, dan sebarang kekurangan dalam ruangan ini adalah kelemahan saya sendiri. Semoga anda terhibur dan ketahuilah bahawa, KERANA ANDA SAYA BERADA DI SINI!! Salam perjuangan dan Assalamualaikum!


Saya Noor Suzila Yatim ikhlas mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak atas dorongan dan segala kata-kata mahu pun apa sahaja yang berjaya memberi saya inspirasi untuk menulis blog ini.

2 comments: