photo lamanutama_zps42d97f2a.jpg  photo ORGANISASI_zpsa868b266.jpg  photo HUBUNGIKAMI_zpsd43bda8f.jpg  photo AKTIVITI_zps0d100c36.jpg  photo GALERI_zps03a7497e.jpg
Showing posts with label HAM. Show all posts
Showing posts with label HAM. Show all posts

Monday, February 23, 2015

HAM IV : Pendidikan Kanak-Kanak di Pulau Mabul

PENULISAN HAM IV SIRI 4
Pendidikan Kanak-Kanak di Pulau Mabul

Assalamualaikum. Alhamdulillah syukur dapat ke Pulau Mabul, Sabah.


My assumption towards kids in Mabul.
-Kanak-kanak yang aggressif dan sukar dikawal.
-Disebabkan mereka tidak mendapat hak pendidikan, saya anggap kanak-kanak ini kurang bijak.


Skop Penulisan: Pendidikan.
Perjumpaan pertama bersama kanak-kanak Pulau Mabul.


Pada mulanya, mereka seorang yang pemalu. Cepat respon. Teruja dengan kehadiran orang baru. Tahu mengira dan pandai berjual beli. Tekun dan bersungguh-sungguh apabila  melakukan aktiviti. Sangat kreatif.


Salah satu karya lukisan kanak-kanak Mabul Kids. Mereka memiliki bakat melukis yang orang luar /pelawat tidak jangkakan. Satu pembaziran besar jika bakat mereka dibiarkan begitu sahaja.


Perjumpaan kedua ketika aktiviti sukaneka.


Ketika sukaneka, saya melihat kanak-kanak tersebut sangat bijak dalam melakukan aktiviti baling getah ke dalam pinggan. Aktiviti tersebut dilakukan di tepi pantai dalam keadaan yang berangin. Apa yang mereka lakukan ialah mereka menyimpul getah tersebut terlebih dahulu suapaya dapat menahan derusan angin yang kuat. One word. Bijak.

Ternyata ‘my assumption’ salah. =)

Secara keseluruhannya, pendidikan sangat memainkan peranan penting dalam system kehidupan. Mengapa?

Sudut sistem kekeluargaan.
Mereka mempunyai bilangan anak yang ramai (nisbah: 1 keluarga 10 orang). Muncul satu persoalan, adakah apabila tidak mempunyai pendidikan, maka mereka tidak tahu merancang keluarga (family planning)?

Sudut persekitaran.
Kawasan kampung kotor. Sampah boleh dilihat merata-rata. Tepian pantai penuh dengan longgokan sampah. Adakah mereka tidak tahu mengenai penjagaan alam sekitar? Atau.. mereka tahu tetapi tidak mempunyai kesedaran? Di sini lah lompang pendidikan yang jelas.

Sudut komuniti.
Pada pendapat saya, golongan ibu bapa, tidak ada rasa keperluan untuk mengubah masa depan kerana tidak tahu platformnya. Mereka berjudi. Aktiviti berjudi ini disebabkan pengaruh daripada pelacong/orang luar. Apabila tidak mempunyai pendidikan, maka jelas tidak dapat membezakan yang baik dan buruk.

Sudut Agama.
Kebanyakan masyarakat Mabul beragama Islam. Namun ada segelintir daripada mereka yang menyembah/mempercayai perkara-perkara khurafat atau yang bertentangan dengan ajaran Islam. Pergaulan antara lelaki dan perempuan juga agak bebas. Ternyatalah, ilmu jalan menuju iman (Islam).

Apabila tiada pendidikan, tiada ilmu, maka setiap sudut di atas juga akan terabai.

Ya, sistem pendidikan bermasalah.


Oleh disebabkan tidak mendapat peluang dalam pendidikan (belajar di sekolah harian), mereka secara tidak langsung telah manfaatkan pembelajaran sepanjang hayat (PSH) dalam kehidupan seharian mereka. Mereka kaya dengan pelbagai kemahiran. Sebagai contoh, kemahiran berenang, kemahiran memanjat pokok, melukis dan mengayuh sampan (walaupun usia masih muda). Saya percaya kemahiran tersebut juga adalah ilmu yang perlu dibelajar. I would say, they are smart in their own way. =)



Kanak-kanak ini bercita-cita tinggi dan berharap memiliki masa depan yang cerah. Persoalannya, adakah ianya akan menjadi kenyataan dengan kurangnya panduan yang mampu membantu mereka merangka pelan kehidupan. Mampukah??


INS. 16 MARCH 2014.

Tuesday, February 3, 2015

HAM IV : Kanak-Kanak Suluk dan Bajau di Pulau Mabul

PENULISAN HAM IV SIRI 3
Kanak-kanak Suluk dan Bajau di Pulau Mabul

Etnik Bajau dan Suluk merupakan antara etnik yang ada di Pulau Mabul. Sepanjang program di Pulau Mabul, saya dan ahli kumpulan saya telah mendekati kanak-kanak Suluk dan Bajau. Kanak-kanak Suluk dan Bajau ini senang ditemui di pulau tersebut kerana mereka menetap di bahagian darat. Kanak-kanak Suluk dan Bajau di pulau ini juga dibahagikan kepada dua kategori, iaitu warganegara dan bukan warganegara atau stateless.

Sepanjang di Pulau Mabul, kami mendekati kanak-kanak Suluk dan Bajau melalui program-program yang kami adakan. Dari program-program yang kami adakan, saya dapat mengenalpasti ciri-ciri dan keistimewaan kanak-kanak ini.

Antara ciri dan kestimewaan kanak-kanak ini ialah peramah. Semasa program pertama yang kami adakan di Mabul Kids Education Society (MKES), apa yang dapat saya lihat ialah sifat peramah kanak-kanak ini. Selepas menjejakkan kaki ke dalam MKES, kanak-kanak ini terus menyapa kami. Mereka juga tidak kekok dengan kami dimana setiap aktiviti yang kami jalankan, mereka menyertainya dengan bersungguh-sungguh dan gembira. Tambahan lagi mereka juga suka berbual dengan kami. Hal ini sekaligus membuatkan kami mudah rapat dengan mereka.

Seterusnya, kanak-kanak Suluk dan Bajau ini mempunyai semangat yang tinggi untuk belajar. Kanak-kanak di MKES majoritinya adalah kanak-kanak stateless yang tidak mempunyai peluang untuk bersekolah di sekolah kerajaan. Walaupun mereka tidak berpeluang untuk mendapat pendidikan sempurna di sekolah kerajaan, namun, mereka tetap ingin belajar, dan disebabkan itu mereka datang ke MKES ini. Apa yang menariknya di MKES ini, semua pelajar diajar tentang perkara yang sama. Semua pelajar tidak kira usia belajar perkara yang sama. Dalam erti kata lain, tidak ada pembahagian kelas di MKES. 

Selain itu, kanak-kanak ini juga mempunyai kreativiti yang tinggi. Hal ini dapat dilihat melalui aktiviti melukis yang kami adakan di MKES. Hampir ke semua kanak-kanak in mempunyai bakat melukis dan mewarna. Cara mereka melukis persis seakan-akan pelukis professional. Cara mereka mengekspresikan imaginasi mereka ke dalam satu lukisan amat mengagumkan  saya. Jika diberi peluang dan didikan, mereka pasti boleh berjaya menjadi seorang pelukis terkenal.


Di samping itu, kanak-kanak ini juga mempunyai cita-cita yang tinggi. Saya dan beberapa ahli kumpulan projek telah menemubual 12 orang kanak-kanak Suluk dan Bajau semasa berada di Surau. Dalam temubual tersebut, kami bertanyakan nama, umur, hobi dan cita-cita mereka. Kami juga mendapati hanya seorang kanak-kanak yang bersekolah di sekolah kerajaan atau dalam erti kata lain mempunyai kewarganegaraan dan selebihnya bersekolah di Mabul Kids Education Society. 

Apa yang menyedihkan saya adalah, kanak-kanak stateless ini mempunyai cita-cita yang tinggi. Ada yang ingin menjadi Polis, Ustaz, cikgu, Imam dan ada juga yang ingin menjadi doctor. Terdetik di hati saya satu persoalan, adakah mereka sedar yang cita-cita mereka itu akan menjadi satu khayalan sahaja? 

Sunday, January 25, 2015

HAM IV : Kehidupan di Pulau Mabul


PENULISAN HAM IV SIRI 2
Kehidupan di Pulau Mabul

Gambar di atas merupakan antara perkampungan orang bajau darat dan suluk yang ada di Pulau Mabul. Di Pulau Mabul, majoriti penduduknya terdiri daripada bajau darat, bajau laut dan suluk. Orang bajau laut pula tinggal di atas perahu.


Semasa kami berjalan di sekitar perkampungan orang bajau dan suluk Pulau Mabul, banyak aktiviti yang dilakukan oleh penduduk di situ. Antara aktiviti tersebut ialah bermain, berniaga dan ada juga yang berjudi. Rutin seharian penduduk di sini adalah sama setiap hari. Penduduk di sini juga mempunyai adat mereka yang tesendiri.

Gambar di atas menunjukkan kanak-kanak bajau dan suluk tengah bermain guli. Kanak-kanak ini sangat suka bermain.

 Kanak-kanak di Pulau Mabul sangat aktif dan ceria. Mereka mempunyai banyak kemahiran. Antaranya mereka pandai melukis, mahir memanjat pokok dan mempunyai semangat kesukanan.

Di atas merupakan antara lukisan yang di lukis oleh kanak-kanak di Pulau Mabul.

Ini merupakan gambar kami mengadakan aktiviti sukan dengan kanak-kanak bajau dan suluk di Pulau Mabul. Ini adalah acara lumba lari.

Syukur atas peluang yang diberikan dalam menelusuri kehidupan masyarakat di Pulau Mabul.


Sunday, January 18, 2015

HAM IV : Komuniti di Pulau Mabul

Program Hak Asasi Manusia (HAM) sememangnya sudah sinonim dengan Kolej Ibu Zain. Program bersiri ini telah memasuki Siri Keempat pada sesi pengajian 2013/2014 yang memfokuskan kepada kanak-kanak 'stateless' atau tanpa kewarganegaraan di Pulau Mabul.

Kini ahli projek HAM IV akan berkongsi pengalaman dan pandangan mereka mengenai projek ini dan juga misi yang mereka jalankan. Tahniah diucapkan kepada mereka hasil pimpinan Eksekutif Kerohanian, saudara Amsyar.


PENULISAN HAM IV SIRI 1
Komuniti di Pulau Mabul

Di Pulau Mabul, komunitinya terdiri daripada penduduk Bajau Laut Laut, Bajau Sulu, NGO dan sebagainya. Namun, terdapat juga individu luar yang bukan berasal daripada Pulau Mabul itu sendiri di mana mereka merupakan guru yang melakukan praktikal di beberapa buah sekolah NGO contohnya di  Kelas Bimbingan Insan dan sebagainya.

Komuniti di sana juga terdiri daripada 3 peringkat iaitu kanak-kanak, golongan remaja dan juga orang dewasa.

Golongan kanak-kanak merupakan golongan yang paling ramai di sana di mana sebahagian daripada mereka ini merupakan kanak-kanak stateless atau lebih dikenali sebagai kanak-kanak yang tidak mempunyai kewarganegaraan.

Ketiadaan kewarganegaraan ini menyebabkan hak kanak-kanak ini dinafikan. Hal ini dapat dilihat apabila, mereka tidak perolehi hak pendidikan, hak kesihatan dan sebagainya seperti kanak-kanak lain. Akibat daripada itu, mereka tidak dapat mencapai kehidupan yang baik seperti orang lain.

Walaupun golongan kanak-kanak ini tidak mendapat hak-hak mereka seperti hak pendidikan, namun terdapat NGO yang telah menyediakan sekolah untuk mereka seperti Mabul Kids Education Society. Di sana, mereka diajar oleh Cikgu Ali dan pembelajarannya sama seperti di sekolah kerajaan. Usaha NGO ini memberikan kebaikan kepada golongan kanak-kanak ini  kerana sekurang-kurangnya mereka mendapat sedikit input daripada pembelajaran yang diajar daripada tidak mendapat pendidikan langsung.

Selain itu, walaupun mereka kekurangan hak daripada segala segi namun mereka tetap hidup gembira dan riang di samping keluarga dan sahabat handai. Kanak-kanak di sana merupakan golongan yang periang, peramah dan amat suka membawa pelancong berjalan-jalan di sekitar Pulau Mabul terutamanya kanak-kanak Bajau Suluk.

Kanak-kanak Bajau Suluk ini berbeza berbanding dengan kanak-kanak Bajau Laut di mana kanak-kanak Bajau Suluk ini sangat kreatif, peramah dan ceria. Berbeza dengan Bajau Laut, di mana mereka hanya hidup di atas laut dan kehidupan seharian mereka hanya berada di atas sampan. Golongan kanak-kanak Bajau Laut ini juga tidak pergi ke sekolah malah mereka hanya membantu kedua ibubapa mereka menangkap hidupan laut untuk dijual. Selain itu, mereka juga meminta duit daripada pelancong untuk membeli makanan.

Walaupun kanak-kanak Bajau Suluk ini tidak mendapat pendidikan yang tinggi, namun mereka sangat berimiginasi tinggi dan pandai dari segala segi contohnya seperti melukis, bersukan, mewarna dan mereka juga mempunyai cita-cita yang tinggi. Kanak-kanak ini juga bekerja di kedai runcit untuk membantu keluarga mendapatkan sumber pendapatan.

Bagi golongan remaja di Pulau Mabul itu pula, mereka merupakan golongan yang agak pasif di mana sebahagian golongan remaja ini tidak melakukan kerja dan mereka hanya duduk di tepi-tepi jalan sambil bermain gitar atau beriadah bersama rakan-rakan. Namun, terdapat juga golongan remaja yang membantu keluarga menjaga kedai. Manakala, bagi golongan dewasa pula mereka membuka kedai runcit sebagai sumber pendapatan utama dan terdapat juga yang melakukan pekerjaan tetap sebagai cikgu di sekolah, pencuci dan sebagainya. Bagi golongan dewasa Bajau Laut pula, mereka banyak menghabiskan masa mencari rezeki di lautan dengan menangkap hasil laut dan mereka tidak mempunyai sebarang pekerjaan tetap. Golongan Bajau Laut ini hidup di atas laut di dalam sampan yang mereka hasilkan sendiri namun terdapat juga Bajau Laut yang hidup di darat tetapi mereka ini dikategorikan sebagai golongan Bajau Laut yang miskin kerana tidak mempunyai sampan sendiri.

Pada waktu malam, terdapat ramai golongan lelaki dewasa ke surau namun golongan wanita kurang dari segi bilangannya. Komuniti di Pulau Mabul boleh dikatakan sebagai kurang didikan agama kerana mereka tidak diajar solat, mengaji dan bagi golongan Bajau Laut pula mereka berjudi sesama sendiri dan ini jelas menunjukkan bahawa mereka tidak mendapat didikan agama dengan secukupnya.

Terdapat juga pengusaha-pengusaha penginapan yang melakukan tugas mereka pada setiap hari di mana mereka menyediakan perkhidmatan dari segi pengangkutan, penginapan, makanan kepada pelancong yang datang ke Pulau Mabul.

Secara keseluruhannya, dapat dilihat bahawa komuniti di Pulau Mabul amat unik kerana mereka terdiri daripada berbagai penduduk. Walaupun mereka hidup serba kekurangan tetapi mereka masih mampu hidup bahagia dan gembira di samping keluarga dan masyarakat sekeliling.

Golongan kanak-kanak Bajau Laut yang meminta duit kepada pelancong

Golongan kanak-kanak Mabul Kids Education Society yang peramah dan ceria

Kanak-kanak ini sedang melukis gambar hidupan laut dan mereka  mempunyai imiginasi yang tinggi