Nukilan : Noor Suzila Yatim, Ikon Teraju KIZ, Timbalan Ketua Eksekutif
Nama diberi Noor Suzila Binti Yatim. Berasal dari Kampung
Chinta Mata, daerah Tenom, negeri Sabah. Anak sulung antara 3 beradik, tetapi
anak ketiga dalam 6 orang adik beradik sebab ayah kahwin dua, ibuku isteri
kedua. Diriku tidaklah istimewa, hanyalah seorang anak gadis kampung lulusan
STPM yang berjaya melanjutkan pelajaran dalam Ijazah Sarjana Muda dengan
Kepujian Persuratan Melayu, di Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan, dan
Kebudayaan Melayu, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan
Malaysia. Sesungguhnya aku amat bersyukur kerana impian dan hasrat tercapai
apabila universiti yang diimpikan telah menerima diri ini.Aku mengucapkan
syukur ke hadrat ilahi atas segala limpah dan kurniaNya kerana rezeki yang
tidak ternilai harganya.Aku juga mengucapkan terima kasih kepada keluarga yang
dari dulu sehingga sekarang tidak berhenti menyokong dan memberi dorongan dalam
menjadi seorang yang berpendidikan dan insan yang berguna. Terima kasih kepada
guru-guru yang mendidik saya tanpa jemu, dan rakan-rakan yang menjadi penguat
tatkala diri ini sedang gundah dan gulana. Aku bersyukur dan terharu bila
mengenangkan betapa perjuangan aku, yang ingin masuk ke universiti seperti
mimpi semalam yang baru saja dibina. Terlalu banyak pengorbanan yang tidak
mungkin saya mampu tafsirkan dengan kata-kata, hanya Allah SWT yang mengetahui
segalanya.
Pertama kali datang ke UKM, aku berasa rendah
diri. Aku gembira juga sebenarnya sebab seolah-olah macam bermimpi yang aku
bergelar mahasiswi UKM, antara uniersiti yang terkenal di Malaysia. Aku tidak
kenali siapa-siapa dan berharap aku akan ramai kawan yang sudi berkawan dengan aku
yang baru pertama kali jejakkan kaki ke UKM. Alhamdulillah,sepanjang di UKM, aku
mengalami pengalaman yang cukup bermakna, cukup manis, pahit, duka, lara,
gembira dan sebagainya. Ia berjaya mendidik aku berdikari dalam menempuh alam
kedewasaan yang matang. Semasa menjadi pelajar tahun 1 di UKM, memang amat
mencabar. Dunia aku bukan lagi zaman sekolah, tapi alam kampus, yang menentukan
sama ada masa depan aku gelap atau cerah.Aku amat suka dengan suasana di UKM,
terutama di Kolej Ibu Zain.Suasana kolej yang mendekatkan lagi perasaan aku
dengan kampung kelahiran.Tidak dilupakan juga Memori Minggu Mesra Pelajar 2013 amat bermakna
sekali,kerana bertuah berkenalan dengan rakan pelbagai negeri, bangsa, dan
budaya. Aku pada mulanya sukar memahami Bahasa Melayu Semenanjung melainkan
Bahasa melayu Sabah dan Sarawak.Alhamdulillah itu bukan penghalang, aku berjaya
tempuhinya. Pengalaman bermakna buat pertama kali menjadi warga UKM, aku
Berjaya ke peringkat akhir Pidato Piala Naib Canselor dan sekali gus mendapat
tempat ketiga.Padahal,berentap dengan 12 peserta dari kolej lain sebelum layak
ke final sungguh sengit ketika pusingan semi final itu.Sungguhpun aku ketika
itu sedang sakit, demam dan batuk, para felo,barisan MEP 2013/2014 dan
rakan-rakan tidak putus-putus memberikan sokongan dan berdoa demi kemenangan.
Terima kasih semua, anda adalah kekuatan saya di sini. Hanya Allah SWT yang
mampu membalasnya.
Pengalaman bermakna dapat berpidato di
DECTAR di hadapan semua warga UKM semasa Minggu Mesra Pelajar sesi 2013/2014.
|
Padahal ketika itu
pening kepala,demam panas yang melanda, suara yang hampir hilang semua aku
hapuskan dari otak aku. Aku mahu yang terbaik demi KIZ dan tidak mahu hampakan
mereka yang berharap dengan diri ini yang menewaskan kolej-kolej lain. KIZ
sebuah kolej yang sedikit jumlah pelajarnya. Sememangnya kami kumpulan
‘krik-krik’ tapi kami mampu buktikan bahawa KIZ juga boleh menjadi saingan
kepada kolej-kolej lain yang jauh lebih besar jumlah pelajar.
Aku bangga mejadi
warga KIZ dengan Pengetua kolej En.Anuar Ahmad yang tegas, berwibawa dan
penyayang terhadap warga KIZ yang dianggap seperti anak-anaknya. Timbalan
Pengetua KIZ En. Nik Noor Faizul Md Saad yang mesra, tegas dan tidak jemu
memberi tunjuk ajar kepada kami semua. Barisan felo, Abang Ijan yang tidak lain
tidak bukan adalah orang pertama yang rapat dengan diri ini. Segala
perkongsian, air mata dan luahan aku kongsikan dengan felo yang berjiwa mesra
pelajar ini. Orang pertama yang berkongsi air mata dengan aku yang ketika itu
masih bertatih dan tidak tahu apa-apa. Abang Ijan seorang yang banyak memberi
kekuatan dan motivasi untuk aku jadi lebih kuat. Dr.Elfith pula seorang felo
yang sangat positif dan banyak memberi aku pendedahan besar terhadap banyak
perkara, beliau seorang kakak yang baik dan selalu sahaja memberi nasihat dan
bantuan setiap kali aku perlukan dia. Abang Acap, Abang Chang Ee, Abang Shaqiq
dan kak Hana adalah felo yang selamba, menghiburkan hati dan selalu dekat
dengan pelajar, mereka-mereka ini antara felo-felo yang selalu berkongsi dengan
banyak perkara sehingga kita terasa senang dan terinspirasi dalam banyak
perkara. Kak bie pula seorang felo yang tegas, serius dan sebenarnya peramah
orangnya. Teringat pertama kali sertai pidato, beliau banyak membantu aku dalam
pengucapan umum sehinggakan aku sedar
dia juga orang sabah (hahaha) orang bajau pula tu.Gembira juga sebenarnya.
Untuk Abang Nik yang baru dilantik menjadi felo, aku tengok abang Nik seorang
yang pemalu tetapi mesra orangnya. Suka tersenyum dan lagaknya menjadi idaman
wanita (hehehe) dan siapa sangka, dia adalah ustaz (hahaha) memang felo-felo
KIZ ni selalu sahaja mengejutkan orang. Namun, mereka semua sentiasa di hati
menjadi yang tersayang dan inspirasi.
Gambar di atas merupakan gambar aku
berjaya meraih tempat Ketiga selepas berentap dengan 6 orang peserta dari kolej
lain. Bersyukur dengan kudrat dan usaha.
|
Pengalaman berkawan
juga merupakan kenangan terindah buat aku. Aku sebenarnya seorang insan yang bertuah
dan sentiasa akan menikmati hubungan persahabatan kerana dianugerahi
kawan-kawan yang selalu sahaja menjadi penghibur, penasihat, dan pembantu
disaat diri ini suka, duka, dan banyak lagi. Mereka adalah insan-insan yang
berjasa kerana banyak membantu aku mengecapi semua kejayaan ini. Mereka adalah
adik beradik yang selalu sahaja dengan diri ini, Geng Lobi yang selalu aktif
penglibatan dalam kolej, membuat riuh rendah, riang ria tawa, suka berdrama,
suka beraktiviti dan banyak lagi (tak dapat nak cakap) siapa sangka kami ini
berlainan negeri, bahasa, bangsa dan budaya boleh bersatu hati? Aku sayangkan
mereka dan selamanya takkan berubah kasih sayang itu. Tidak dilupakan
rakan-rakan kolej yang senantiasa memberi sokongan dan selalu sahaja membantu
tatkala diri ini sedang runsing, mereka sentiasa menawarkan diri membantu dalam
menyertai program dan aktiviti bahkan, menjadi penghibur, penasihat dan rujukan
sekiranya ada sahaja hal yang menganggu hati ini.Seterusnya kepada rakan-rakan
fakulti yang selalu memahami aku seorang yang aktif, mereka tidak selalu
membebankan diri ini malah sebaliknya membantu aku dalam tugasan-tugasan kuliah
dan memberi rujukan nota-nota untuk sama-sama cemerlang dalam pelajaran. Mereka
Keluarga Dongdel yang selalu menghiburkan hati ini dan selalu mengambil berat
tanpa jemu kerana risau aku akan ketinggalan. Terima kasih kepada kawan-kawan
yang mengenali diri ini, anda adalah kekuatan saya dalam menempuh hidup ini.
Teruskanlah bersama saya dan teruskanlah menegur saya demi kebaikan saya untuk
membina keperibadian diri ini. Teruskanlah kejutkan saya dari lena tidak
berpenghujung ini. Mari!!! Bangkitlah bersama diri ini!
Percayalah, di dunia
ini kita bukan keseorangan.Kita punya keluarga, rakan-rakan dan banyak lagi
yang sentiasa menyokong kita. Jangan dilupa kepada Allah SWT yang maha
mengetahui segalanya, kepadaNya kita berdoa dan melaksanakan amanah sebagai
hambanya. Sentiasalah ingat bahawa diri kita ini ada masa depan dalam mencipta
sejarah tersendiri. Yakinlah! Bangkitlah! Jangan tidur lena dibantal yang empuk
itu, kelak kau akan menyesal bahawa kau tertinggal saat-saat yang bermakna
dalam menyedut pahit manis dalam menyelusuri ranjau kehidupan untuk menjadi
insan yang berjaya, ingatlah ibu bapa kita dan mereka yang berkorban demi kita.
Sesungguhnya semuanya dari diri kita sendiri.
Di UKM ini mengajar aku banyak
nilai yang aku sendiri juga sukar untuk mengerti, sehingga buat aku berfikir
bahawa, aku sudah dewasa dan di depan aku banyak lagi cabaran-cabaran yang
menanti. Mulai saat ini aku harus kuat dan bangunkan diri ini dalam menghadapi
masa-masa yang bakal menjatuhkan aku itu. Tetapi bagaimana? Di sinilah
jawapannya, aku harus kuat dalam pegangan agamaku, mantapkan ilmu aku, jaga
perhubunganku dangan alam sekitarku dan penghuni di muka bumi ini sebaiknya dan
sedia berubah dalam perbaiki kekurangan diri. Kerana apa? Aku ingin menjadi
insan yang merubah nasib keluarga, bangsa dan agama. Aku tidak mahu hidup
dibayangan orang lain dan ingin mengorak langkah dalam membantu diri ini dan
mereka yang lain. Allahuakbar, besar sungguh tangungjawab ini. Adakah aku
antara mereka yang terpilih? Allahualam. Semoga Allah permudahkan urusanku
dalam sepanjang hidup ini Inshaa Allah. Amin.
Pengajianku di UKM
berjalan dengan lancar dan kadangkala tersangkut kerana kesibukan,
masalah-masalah lain seperti kesihatan dan perasaan malas yang tidak diundang.
Aku akui bukan mudah dalam mendisiplinkan diri dengan masa, tapi mahu atau
tidak kita kena juga berdisiplin dan berjuang dalam kecemerlangan diri kita.
Namun,aku berbangga menjadi pelajar Persuratan Melayu kerana sejak sekolah
menengah, STPM dan kini aku tidak pernah tinggalkan subjek kesukaan aku ini.
Entah kenapa, meskipun ramai yang bersuara sumbang mengatakan jurusan ini tidak
punya masa depan cerah,aku tidak peduli! Kerana bagi aku,biarlah aku belajar
kerana minat, tentang kerja bukannya tidak penting, aku akui ia amat penting
demi masa depan kita.Tapi sedarlah, kerja atau kerjaya itu rezeki daripada
Allah SWT, berusahalah kejar minat anda dan asahlah bakat demi kebaikan dan
ilmu yang membantu kita dikemudian hari.Usah berharap hari yang cerah, tetapi
bersedialah menghadapi mendung yang mungkin hujan. Bersedialah untuk tidak
bersedia!! Kerana hidup memang bukannya mudah seperti yang anda jangkakan.
Sepanjang setahun
saya berada di UKM, adalah menjadi satu pengalaman yang banyak membantu saya
membina karakter diri saya menjadi seorang insan yang ingin maju seperti mereka
yang lain. Saya dedahkan diri saya terhadap banyak perkara sehingga jauh dari
kepakaran saya. (terkejut juga tapi tiada yang mustahil). Saya berusaha menjadi
yang terbaik semaksima yang mungkin. Saya cabar diri saya untuk menjadi contoh
kepada yang lain. Kerana bagi saya tiada alasan melainkan alasan untuk menempah
kegagalan sendiri. Cukuplah kita berusaha sebaik mungkin dan sekiranya nasib
tidak menyebelahi kita itu adalah hikmah yang mempunyai nilai tersirat dalam
mendidik kita supaya jangan cepat mengalah dan teruskan sehingga menang!
Alhamdulillah, Allah SWT makbulkan impian saya dengan menganugerahkan saya
pelbagai nikmat yang saya tidak jangka sepanjang setahun ini saya mampu
menjulang semua itu. Berkat didikan para pensyarah yang selalu memberi tunjuk
ajar, barisan felo yang selalu tidak lekang dengan nasihat dan rakan-rakan yang
banyak memberi sokongan, saya berjaya hadapi semua itu. Namun, saya tidak akan
berhenti dan akan terus mencipta sejarah hidup saya lagi untuk masa akan
datang!!!
Alhamdulillah..itulah
rakaman kenangan terindah buat aku yang setahun menetap di UKM. Banyak lagi
sebenarnya, tetapi semua itu akan disematkan di dalam hati dan fikiran agar
menjadi motivasi dalam menuju kejayaan. Sepanjang penglibatan inilah yang
berjaya mendidik,melatih dan mencipta imej atau perwatakkan aku sekarang.
Inilah aku, yang sentiasa dahagakan pembaharuan, yang sentiasa mengejar erti
hidup dalam mengejar makna hidup sebagai seorang hamba Allah di muka bumi ini.
Aku tidak mahu buang masa, aku ingin mengisi hidup ini dengan sesuatu yang
bermakna agar, menjadi panduan generasiku suatu hari nanti.
Berkat doa keluarga,
para pendidik dan rakan-rakan.Segala penat lelah sebagai pelajar dalam
mengharungi pelbagai tangungjawab sekali gus banyak melatih kita sebenarnya.
Aku banyak menerima rezeki yang selalu sahaja tidak putus-putus. Rezeki itu
luas, bukan wang tetapi kepercayaan! Amanah! Dan sudah pasti tangungjawab
terhadap diri ini. Zaman 2013, zaman 2014 bakal melabuhkan tirainya. Apa lagi
harus ku kejar? Selain ketakwaan kepada Allah SWT, aku ingin mencabar diri ini
mendapat sesuatu yang sukar didapati. Sudah tentu dalam pelajaran, membentuk
akhlak yang baik dan banyak lagi. Namun, tiada yang senang, hanya cabaran yang
menanti. Untuk kali ini aku menyandang jawatan sebagai Timbalan Ketua Eksekutif
Kolej Ibu Zain dan memimpin rakan-rakan untuk memajukan diri menjadi Pendaulat
Amanah Negara! Bukan mudah,tetapi aku percaya hasil doa,kerjasama dan usaha
bersama pasti kita akan jadi lebih hebat.
Terima kasih kerana
anda sudi membaca coretan perkongsian ini. Semoga apa yang saya kongsikan ini
menjadi motivasi untuk kita semua dalam membina pembangunan diri.Maafkan saya
kepada pihak yang tidak dinyatakan dalam ruangan ini, dan sebarang kekurangan
dalam ruangan ini adalah kelemahan saya sendiri. Semoga anda terhibur dan
ketahuilah bahawa, KERANA ANDA SAYA BERADA DI SINI!! Salam perjuangan dan
Assalamualaikum!
Saya Noor Suzila
Yatim ikhlas mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak atas dorongan
dan segala kata-kata mahu pun apa sahaja yang berjaya memberi saya inspirasi
untuk menulis blog ini.
This comment has been removed by the author.
ReplyDeleteThis comment has been removed by the author.
ReplyDelete